fbpx

2 Januari 2022, 9:16 pm

  TERKINI

Vaksin mandatori juga patut wajib untuk sektor swasta

DR. KULJIT SINGH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) turut menyarankan agar semua pekerja sektor swasta di seluruh negara diwajibkan menerima suntikan vaksin Covid-19 selaras keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang memberi amaran tegas tindakan disiplin jika masih ingkar.

Presidennya, Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, petugas swasta yang tidak bertugas berdepan orang awam juga diwajibkan mendapatkan vaksin kerana mereka turut bersemuka dengan rakan di tempat kerja.

“Sektor swasta juga harus selari dengan langkah pihak kerajaan dan tidak perlu menunggu sehingga diwajibkan secara bentuk perundangan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Semalam, JPA memberi peringatan kepada 16,902 penjawat awam di negara ini yang enggan mendaftar untuk program vaksinasi sebelum 1 November atau berdepan tindakan tatatertib sejajar usaha pengembalian penyampaian perkhidmatan awam pada tahap operasi penuh berdasarkan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Arahan itu disokong Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang menuntut ‘berundur awal’ jika masih degil, namun dikecualikan kakitangan yang memang tidak boleh divaksin atas faktor kesihatan dengan perlu mengemukakan maklumat disahkan pegawai perubatan kerajaan kepada ketua jabatan.

Mengulas lanjut, Kuljit berkata, hampir kesemua staf hospital swasta di negara ini sudah pun lengkap diimunisasi bagi memberi keyakinan serta melindungi nyawa petugas dan pesakitnya, manakala mereka yang antivaksin atau tolak atas sebab kesihatan, perlu jalani ujian saringan secara berkala atau dipindah ke bahagian lain yang kurang bertemu pelanggan bagi mengelak risiko.

Beliau turut menyifatkan arahan mandatori itu sebagai kena pada masanya kerana penjawat awam kelazimannya sering bertemu masyarakat dan boleh terdedah menjangkiti orang ramai sekali gus vaksinasi lengkap membolehkan jentera kerajaan dapat beroperasi secara penuh demi memulihkan semula ekonomi dan memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Imunisasi mandatori yang ditekankan kerajaan juga dapat mengurangkan tekanan kepada petugas kesihatan apabila dikerah merawat pesakit Covid-19 dalam kalangan tegar tolak vaksin dan situasi itu banyak menyusahkan pesakit bukan Covid-19 apabila mereka tidak mendapat layanan sewajarnya kerana pihak hospital lebih memberi keutamaan kepada pesakit wabak itu,” katanya. – UTUSAN

POPULAR

KOSMO! TERKINI