fbpx

2 Januari 2022, 9:17 pm

  TERKINI

Agenda Yahudi alasan popular tolak vaksin di Kelantan

DR. IZANI HUSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Lebih 27,000 individu dewasa di negeri ini menolak vaksin Covid-19 dengan alasan paling popular vaksinasi adalah agenda Yahudi, selain faktor kesihatan dan bimbang pada kesan sampingan.

Daripada jumlah itu, kira-kira 9,000 individu terbabit berkeras tidak mahu divaksin langsung atau dikategorikan sebagai antivaksin.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin berkata, dapatan itu dikumpul oleh ketua jajahan dan pemimpin setempat yang turun padang bertemu rakyat sejak sebulan lalu.

“Kita dapati kira-kira 9,000 daripada individu ini memang enggan divaksin atau antivaksin. Jadi kita tidak boleh buat apa kerana menerima vaksin ini bukan paksaan manakala selebihnya menolak atas faktor kesihatan.

“Saya menyeru kepada yang belum terima vaksin, supaya ubah fikiran sebab statistik menunjukkan vaksin ini berkesan dalam mencegah komplikasi sehingga menjadi punca kematian,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) di Kompleks Kota Darulnaim.

Mengulas lanjut Dr Izani berkata, sehingga hari ini, jumlah populasi dewasa di negeri ini selepas diperincikan adalah 1.103 juta orang, berbanding 1.26 juta orang sebelum ini yang diambil melalui data kelahiran.

Daripada jumlah itu kata beliau, lebih 65,000 individu dewasa belum divaksin manakala 1,053,523 individu atau 94 peratus daripada populasi dewasa sudah menerima vaksin sekurang-kurang dos pertama.

“Selepas ditolak 27,000 yang menolak vaksin serta mengalami masalah kesihatan, lebih kurang 38,000 individu sahaja lagi yang belum menerima vaksin,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Izani berkata, Kelantan akan menutup kesemua 24 pusat pemberian vaksin (PPV) menjelang hujung Oktober ini selepas negara bakal menuju ke arah fasa endemik tidak lama lagi.

“Keputusan untuk menutup 24 PPV dibuat selepas 80 peratus golongan remaja menerima suntikan vaksin Covid-19. PPV tertentu sudah ditutup dari masa ke masa sehingga hujung Oktober depan.

“Setakat ini, kita melanjutkan operasi PPV di negeri ini untuk memberikan suntikan vaksin dos kedua kepada individu yang sudah menerima suntikan pertama,” katanya. – UTUSAN

POPULAR

KOSMO! TERKINI