fbpx

2 Januari 2022, 9:17 pm

  TERKINI

Pelajar ada hak tolak vaksin, masih boleh ke sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan setakat ini belum lagi ada hasrat untuk bertindak tegas melarang pelajar enggan divaksin daripada masuk ke sekolah bagi belajar secara bersemuka.

Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr. Mah Hang Soon bagaimanapun berkata, pihaknya akan mengadakan sesi kaunseling bagi memujuk mereka agar turut menerima imunisasi itu.

“Pelajar memang ada hak untuk meneruskan sesi pembelajaran di kelas dan tidak ada sebab untuk mereka ditolak masuk ke kawasan sekolah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali bersempena pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja.

Seramai 3.2 juta remaja berusia 12 tahun hingga 17 tahun bakal divaksin di negara ini dengan kerajaan menyasarkan 80 peratus daripada mereka lengkap dos pada akhir Disember depan.

PICK Remaja dilancarkan Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin di sini Isnin lalu, namun Sabah dan Sarawak sudah bermula lebih awal.

Mengulas lanjut, Hang Soon berkata, berdasarkan tinjauan awal, segelintir yang menolak vaksin itu kemungkinan disebabkan tekanan daripada ibu bapa atau penjaga mereka sendiri.

“Kebiasaannya bukan kerana murid itu sendiri enggan diimunisasi, tetapi orang tua mereka yang mungkin bimbang agak keterlaluan atau memang kelompok antivaksin,” tambah beliau.

Justeru, pihak kementerian itu bersedia memberikan bimbingan kaunseling kepada ibu bapa pelajar terbabit untuk menerangkan keperluan vaksinasi demi kepentingan kesihatan awam kerana murid yang menerima vaksin juga berhak dilindungi sejajar matlamat PICK Remaja memberi imuniti kelompok tanpa bimbang kemunculan kluster sekolah.

Pelajar terbabit bagaimanapun boleh menolak imunisasi atas faktor kesihatan seperti ada alahan ubat, penyakit kronik seperti barah atau masalah pendarahan dalaman yang agak serius.

Menyentuh isu guru yang enggan divaksin, Hang Soon berkata, mereka akan diberi tugasan lain tidak melibatkan aktiviti bersemuka dengan pelajar bagi elak isu kebimbangan penularan.

“Perkara ini juga sedang diteliti pihak Jabatan Perkhidmatan Awam dan pihak kementerian masih lagi tunggu apakah bentuk tindakan yang boleh dikenakan ke atas mereka,” katanya yang turut memberi jaminan bahawa setakat ini hanya vaksin jenis Comirnaty keluaran firma Pfizer BioNTech yang digunakan untuk remaja kerana jenis lain belum lagi menerima kelulusan. – UTUSAN

POPULAR

KOSMO! TERKINI