fbpx

2 Januari 2022, 9:17 pm

  TERKINI

Bukan antivaksin, tapi bimbang anak kecil kurang daya tahan – Ayu Damit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Selepas Datuk Fizz Fairuz dan isterinya, Datin Almy Nadia menyuarakan pandangan mengenai kewajaran suntikan vaksin untuk golongan kanak-kanak, kali ini, giliran penyanyi, Ayu Damit pula melahirkan kebimbangan yang serupa.

Menurut Ayu atau nama sebenarnya, Norayu Damit, sebagai ibu bapa, dia dan suaminya, Syed Fauzi Syed Baharuddin,33, tentu mengutamakan keselamatan dan kesihatan anak-anak namun bimbang seandainya si kecil tidak mampu menahan kesan suntikan vaksin kelak.

“Saya dan suami ada berbincang mengenai hal ini. Suami ada luahkan, dia memang tak mahu anak-anak disuntik dengan vaksin walaupun tahu tujuannya adalah untuk melindungi diri daripada wabak Covid-19.

“Tetapi, cuba fikir. Jika orang dewasa pun ramai yang tak tahan dek kesan selepas menerima suntikan, apatah lagi golongan kanak-kanak yang tentunya tidak memiliki daya imunisasi yang kuat berbanding kita orang dewasa?

“Kami bukan anti-vaksin. Cuma bila fikir bab anak-anak ini, perlukan lebih penelitian dan pertimbangan,”katanya.

Ayu berkata demikian semasa ditemui di majlis pelancaran The Royal Wedding Wilqadry & DGS Production di Wilqadry Courtyard Hall, IOI Resort Putrajaya baru-baru ini.

Pandangan itu dilontarkan oleh Ayu rentetan keputusan kerajaan dalam menyediakan program suntikan vaksin jenis Pfizer-BioNTech buat golongan kanak-kanak di bawah usia 12 tahun.

Selain itu, penyanyi yang popular dengan lagu Hanya Di Mercu itu juga meluahkan kebimbangannya terhadap keselamatan anak sulungnya yang kini berusia 12 tahun namun memiliki masalah kesihatan.

“Pihak sekolah telah menetapkan bahawa setiap pelajar diwajibkan mendapatkan suntikan vaksin sebelum memulakan persekolahan seperti biasa. Itu syarat yang mereka tetapkan walaupun tahu, mahu atau tidak mengambil vaksin itu adalah keputusan masing-masing.

“Tapi kami bimbang juga kalau tidak buat begitu, ia akan menyukarkan proses pembelajaran anak di sekolah. Jadi mungkin kami akan benarkan anak sulung ambil vaksin.

“Cuma, saya sebagai ibu amat risau kerana anak sulung kami itu ada masalah kesihatan sedikit berbanding adik-beradiknya yang lain. Dia, mudah jatuh sakit dan tidak memiliki antibodi yang kuat,”katanya.

Untuk rekod, Ayu dan Syed Fauzi mendirikan rumah tangga pada tahun 2009 dan dikurniakan tiga cahaya mata.

Anak-anak mereka ialah, Syed Nasrul Haikal, 12, Sharifah Alya Aryana, 9, dan Syed Aqif Najmi yang kini berusia setahun.

POPULAR

KOSMO! TERKINI