fbpx

2 Januari 2022, 9:17 pm

  TERKINI

Pengambilan wajib vaksin masih dikaji – PM

ISMAIL Sabri Yaakob melambai kepada penghuni semasa meninjau sekitar Perumahan Awam Seri Perak, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur, semalam. - FB DATUK SERI ISMAILSABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan belum memutuskan untuk mewajibkan pengambilan vaksin Covid-19.

Perdana Menteri, cadangan tersebut masih di peringkat kajian sebelum diputuskan Kabinet sama ada terdapat keperluan untuk mewajibkan vaksin berkenaan atau sebaliknya.

Bagaimanapun, beliau dalam masa yang sama menggesa dan memberi galakan kepada semua pihak mendapatkan suntikan tersebut bagi menikmati pelbagai keistimewaan sebagai penerima lengkap vaksin.

“Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman sudah mengeluarkan arahan kepada kakitangan kerajaan untuk mengambil vaksin, kalau tidak, tindakan akan dikenakan. Begitu juga Kementerian Pertahanan yang sudah keluarkan arahan kepada mereka yang tidak mengambil vaksin dianggap melanggar arahan kementerian.

“Malah urusan lain seperti umrah juga diwajibkan Kerajaan Arab Saudi dan kita jangka syarat yang sama juga diwajibkan bagi mereka yang ingin mengerjakan haji,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau penyelenggaraan lif di Perumahan Awam Seri Perak, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur, dekat sini, semalam.

Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM120 juta kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menukar lif lama kepada baharu di 67 unit projek perumahan rakyat (PPR) seluruh Kuala Lumpur dan meluluskan RM15 juta bagi menaik taraf taman permainan, longkang, saluran air serta kemudahan lain di semua PPR seluruh Wilayah Persekutuan serta Seri Perak.

Selain itu, kerajaan menyediakan peruntukan RM1.8 juta bagi kerja-kerja mengganti semua pendawaian elektrik yang telah lama dan membahayakan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, tindakan tegas wajar dikenakan kepada kumpulan antivaksin dan kerajaan berpegang kepada prinsip melindungi kelompok majoriti berbanding kelompok kecil.

“Lebih kurang satu peratus sahaja yang tidak mahu divaksin .Kita berpegang prinsip untuk melindungi majoriti kelompok.

“Antivaksin yang menyebarkan cerita tidak betul, fitnah dan berita palsu akan dikenakan tindakan. Tindakan bukan dikenakan sebab mereka antivaksin, tetapi kerana mereka sebar berita palsu,” jelasnya.

Dalam pada itu, mengulas berhubung pendedahan Kertas Pandora, Perdana Menteri berkata, pihak berkuasa yang berkaitan boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa sahaja yang disebut memiliki aset kewangan luar pesisir dalam kertas berkenaan.

“Kerajaan menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa sekiranya mereka mempunyai bukti pelanggaran undang-undang negara. Kita terbuka dan serah kepada pihak berkuasa. Kita tidak menyekat tindakan kalau ada bukti. Kalau tak ada bukti, tak bolehlah,” katanya.

Sebelum ini, bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan beberapa ahli keluarganya serta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah antara nama disebut dalam pendedahan Kertas Pandora kerana mempunyai akaun luar pesisir.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pula berkata, Bank Negara (BNM) sedia bekerjasama dengan agensi penguatkuasa undang-undang untuk memantau dan menyiasat dokumen terkandung di dalam Kertas Pandora yang membabitkan individu di negara ini. – UTUSAN ONLINE

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI